Showing posts with label tembak. Show all posts
Showing posts with label tembak. Show all posts

Saturday, August 3, 2013

Berita Emas : Tembak Lagi~ Peniaga emas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat.

Tembak Lagi: Peniaga emas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat.

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga emas cedera terkena tembakan yang dilepaskan ke arahnya ketika kenderaannya berhenti di lampu isyarat Jalan Makmur, Pandan Indah, Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata, dua lelaki menaiki motosikal Yamaha berwarna biru menghampiri kereta Toyota Camry yang dipandu peniaga itu pada jam 8.45 pagi tadi.

"Seorang daripada lelaki terbabit melepaskan tiga das tembakan ke arah peniaga emas itu menyebabkan mangsa, Wong Foo Yui, 34, cedera di bahu," katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan cedera, Wong memandu keretanya ke Balai Polis Pandan Indah, yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, untuk mendapatkan bantuan.

Amiruddin berkata, Wong yang berasal dari Jalan Klang Lama, kini dirawat di Hospital Ampang dan keadaannya dilaporkan stabil.

Kes tembak hari ini adalah yang keempat dalam tempoh lima hari minggu ini.

Isnin lalu, Pengasas Arab Malaysian Bank Hussain Ahmad Najadi, 75, maut manakala isterinya, Chong Mei Kuen, 49, cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur.

Pada 29 Julai,seorang lelaki cedera parah di paha kanan selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat simpang empat Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Rabu lalu pula, pemandu van kilang N Jeevandran, 26, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di atas kiri perut dan bahagian kanan bawah pinggang di persimpangan Jalan Permai Utama, Parit Buntar, Perak.







Thursday, August 1, 2013

Perkongsian Kisah Habib Ditembak Penjenayah oleh Habib Syech Assegaff

Ada satu kisah menarik yang dikongsikan oleh Habib Syech ketika saya berpeluang duduk dengan Habib baru-baru ini selepas habis majlis iftar & qasidah burdah bersama kami.
Beliau berkongsi tentang seorang habib (saya tidak ingat namanya) di Indonesia satu masa dahulu telah ditembak oleh seorang penjahat. Peluru tersebut terkena ke dadanya dan beliau berjaya lari pulang ke rumah. Sampai sahaja dirumah di dalam keadaan berlumuran darah, anak muridnya melihatnya terus menyambutnya dan cuba menyelamatkannya serta marah-marah kerana penjahat mana yang berani menembak guru mereka.
Ketika Habib masih antara sedar dengan tidak serta di dalam kesakitan, beliau menjerit "Ya Allah, Kau ampunilah orang yang menembak aku ini samada aku hidup atau mati Ya Allah! Masukkanlah dia ke dalam syurgaMu dan tempatkanlah dia di sisi Rasulullah saw"
Anak murid belai semuanya jadi "kaget" & "penasaran"..... Penjahat tu dahlah berani menembak habib mereka tetapi habib mereka siap maafkan penjahat tersebut dan mohon keampunan untuk penjahat tersebut serta diminta bukan sahaja masuk syurga tetapi ditempatkan di sisi Rasulullah saw??? Gila apa ini? Kata anak murid Habib.
Belum sempat ditanya kepada Habib kenapa doanya begitu, Habib pun pengsan. Alhamdulilah Habib berjaya dirawat dan diselamatkan serta kembali sihat. Tidak lama selepas itu, beliau ditanya oleh anak muridnya, kenapa doanya begitu untuk penjahat tersebut, adakah kerana Habib kenal penjahat tersebut.
Habib tersebut jawab, beliau pun tidak mengenali penjahat tersebut kerana di dalam gelap malam beliau cuba dirompak, tapi yang pastinya beliau tidak rela seorang umat Muhammad bertambah ke dalam neraka kerana kesilapan mereka dan beliau nampak ianya peluang untuk beliau memohon rahmat Allah swt dan syafaat Rasul untuk menambah seorang ahli syurga kerana doa beliau sebagai orang yang teraniaya adalah makbul. Dan beliau juga berharap itu akan membuatkan Rasulullah saw suka dan gembira kasih kepada beliau dan mudah-mudahan berkat apa yang dibuatnya ini, beliau akan mendapat tempat lebih baik di sisi Rasulullah saw.
Habis Habib Syech Assegaff bercerita, saya pun terdiam dan berfikir. Ya Allah, jauhnya iman aku dibandingkan dengan mereka ini, mudah-mudahan kau jadikanlah kami semua mempunyai iman yang lebih bagus seperti mereka atau lebih baik lagi kecintaan kepada Rasulullah saw.
Maafkan saya jika ada salah silap saya dan saya juga maafkan sesiapa pun yang mungkin ada silap dengan saya. Saya halalkan ilmu atau perkongsian yang kami paparkan di sini. Saya doakan kita semua mendapat barokah malam Lailatul Qadar. - AzizanOsman -