Tuesday, April 2, 2013

Berita Emas : SINDIKET PENIPUAN CUCI BARANG KEMAS TUMPAS

Kepala Batas, 2 April - Polis menumpaskan sindiket penipuan mencuci barang kemas yang bertindak menghakis emas mangsa dengan menggunakan sejenis bahan kimia selepas menahan dua lelaki warga China dan seorang wanita tempatan Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata bertindak hasil maklumat dan risikan sepasukan pegawai dan anggota bahagian Siasatan Jenayah Komersil sejak sebulan lepas, pihaknya Berjaya mengesan dua lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 40 tahun berkenaan di terminal tambang murah di Sepang, Selangor.

"Ketika ditahan mereka mahu ke China dan dipercayai untuk menjual emas yang telah dicuri. Bersama mereka ketika itu kita turut merampas beberapa ketulan emas dan barangan kemas bernilai lebih RM70,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Raub, Pahang dipercayai tempat sindiket terbabit beroperasi sejak dua tahun lepas dengan menipu orang ramai di seluruh negara.

"Di rumah berkenaan kita merampas beberapa lagi barang kemas pelbagai bentuk, peralatan membuat atau membentuk emas, tiub gas dan tong gas serta wang tunai. Selain itu, polis turut menemui beberapa bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk menghakis emas," katanya.

Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati mereka bergerak secara berkumpulan memperdayakan mangsa dengan menawarkan untuk mencuci barang kemas milik mangsa secara percuma.

"Setelah mangsa serahkan barang kemas untuk dicuci, barang itu dipulangkan semula kepada mangsa dan hanya menyedari barang kemas itu lebih kecil, nilai dan berat berkurangan dan rosak selepas mereka beredar.

"Sindiket terbabit menggunakan sejenis bahan kimia untuk mencuci barangan kemas dan dalam masa yang sama emas berkenaan akan terhakis. Mereka akan mengumpulkan serbuk emas terbabit sebelum menjualnya," katanya.

Katanya setakat ini, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang mangsa di Tasek Gelugor berhubung kejadian itu dan wanita berkenaan kerugian lebih RM10,000.

"Polis percaya lebih ramai lagi yang telah menjadi mangsa sindiket terbabit kerana mereka mengaku menipu lebih 30 orang. Jadi saya minta sesiapa yang pernah menjadi mangsa mereka agar tampil membuat laporan polis," katanya dan usaha mengesan anggota sindiket itu giat dijalankan.

Dua suspek lelaki warga China yang merupakan perancang utama dan wanita itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment