Gilap jiwa usahawan dalam diri
Oleh Dr Azizan Osman
Memperkasa ekonomi diri dulu sebelum anda
ingin memperkasa ekonomi dunia.
Kebelakangan ini kita sering mendengar keluhan
rakyat terutama Bumiputera akibat kenaikan harga bahan api kenderaan. Sedikit
demi sedikit harga barang mula meningkat dan ia memberi kesan besar kepada
perbelanjaan harian. Ramai mula berbalah dan menuding jari kepada kerajaan
kerana tidak mengambil kira sensitiviti rakyat. Yang menariknya, kebanyakan
yang menuding jari akibat dari kenaikan ini ialah kaum Bumiputera sendiri.
Tahukah anda secara amnya ekonomi dunia ini
direka untuk sentiasa meningkat. Ini bermakna kos saraan hidup akan terus naik
dari tahun ke tahun tanpa henti. Adakah anda masih ingat berapa sen yang anda
bawa ke sekolah ketika anda kecil? Saya masih ingat lagi hanya membawa duit
poket 50 sen ketika bersekolah rendah. Anda boleh teka berapa umur saya pada
zaman itu? Ketika itu saya bersekolah rendah pada tahun 1980-an. Adakah hari
ini mencukupi sekiranya kita memberikan duit poket hanya 50 sen? Pastinya tidak.
Kenapa? Kerana ada satu perkara mengenai sistem ekonomi dunia yang anda perlu
faham iaitu masalah inflasi. Sama ada suka atau tidak, duit sentiasa susut
nilai dan harga barang 10 tahun dulu seperti harga rumah, barang dapur dan
banyak lagi pastinya tidak sama. Jadi usahlah kita membuang masa menuding jari
apabila kenaikan ini terjadi. Dari anda pening memikirkan masalah ekonomi dunia
atau cuba menjadi ‘Superman’ mahu merubah ekonomi dunia, lebih baik fikirkan
bagaimana hendak mengukuhkan lagi ekonomi diri sendiri dan keluarga.
Mungkin anda boleh mulakan dengan mengurangkan perbelanjaan yang tak
sepatutnya. Mula perhatikan aliran wang keluar masuk anda dan isi rumah. Cuba
mencari jalan menambahkan lagi simpanan dan paling penting, tingkatkan
pendapatan bagi menampung kenaikan kos sara hidup yang luar biasa ini. Antara
cara meningkatkan pendapatan melalui bekerja makan gaji ataupun berniaga
sendiri.
Ramai menganggap dengan kelulusan tinggi saja boleh menjamin mendapat pekerjaan
bagus serta gaji lumayan. Mungkin fahaman ini dipupuk sejak kecil hingga
menjadi satu bentuk budaya atau tradisi yang patut diikuti kita sehingga ke
hari ini. Tak salah mempunyai pendidikan bagus serta gred cemerlang,
persoalannya kenapa perlu bekerja untuk orang lain sekiranya anda boleh
berniaga sendiri.
Masalahnya kebanyakan bangsa kita menjadikan perniagaan itu satu pilihan
terakhir di dalam memilih kerjaya sedangkan jika anda melihat kaum Cina,
berniaga satu keutamaan di dalam masyarakat mereka. Mereka seolah-olah percaya
bangsa mereka wajib berniaga berbanding bangsa kita yang rata-rata ditekankan
mengenai pentingnya makan gaji terutama bekerja dengan kerajaan. Ia seolah-olah
pilihan selamat untuk mendapat pencen satu hari nanti.
Kaum Bumiputera, bangkitlah dari keselesaan anda sekarang! Sedarlah kehidupan
anda hari ini dalam keadaan membimbangkan. Pendapatan melalui makan gaji tidak
dapat menampung dari getaran kewangan ekonomi dunia. Tetapi jika anda berniaga
dan menjadi usahawan bermatlamat, anda pasti mampu tersenyum melihat gelagat
ekonomi sedia ada dan juga yang bakal menjelma. Jika anda dapat menguasai
ekonomi diri sendiri anda dapat tentukan apa anda inginkan dan ini salah satu
kelebihan menjadi usahawan.
Bakat dan ilmu antara intipati untuk menjadi usahawan.
Kebiasaannya ramai beranggapan untuk menjadi usahawan berjaya memerlukan bakat
semula jadi ataupun diwarisi dari keluarga. Realitinya, untuk menjadi usahawan
anda tidak memerlukan bakat yang hebat, tetapi apa anda perlukan adalah ilmu
mencukupi. Dari ilmu, bakat dan kemahiran dibina secara tidak langsung ke dalam
diri usahawan secara berperingkat sehingga ia menjadi darah dagingnya sendiri.
Ramai yang lahir menjadi usahawan berjaya terutama beberapa tahun kebelakangan
ini dalam kalangan Bumiputera dengan sokongan kerajaan serta inisiatif banyak
pihak termasuk saya di dalam membantu melatih membangunkan usahawan yang
berjaya.
Jika anda perhatikan mereka yang menjadi usahawan berjaya, ramai tidak
mempunyai latar belakang keluarga berniaga atau mempunyai kelulusan MBA di
dalam pengurusan perniagaan, malah ramai mempunyai kelulusan bidang pengurusan
perniagaan yang takut berniaga atau gagal di dalam perniagaan mereka. Adakah
kita perlukan ‘genetik’ usahawan untuk menjadi usahawan? Pada tahun 2010,
penulis buku ‘Born Entrepreneurs, Born Leaders’, Scott Shane, professor bidang
kajian keusahawanan di Cleveland Case Western Reserve University menganjurkan
masalah genetik tidak mempengaruhi sama ada seseorang itu akan memilih untuk
bekerja atau berniaga, tetapi beliau tidak menafikan faktor sekeliling banyak
mempengaruhi seseorang membuat keputusan untuk berniaga.
Usahawan datang dari semua lapisan masyarakat, semua kumpulan umur dan dari
segala sudut. Mereka orang biasa seperti anda dan saya. Mereka tinggal dan
bekerja di negara ini. Mereka menghadapi masalah sama yang kita hadapi setiap
hari. Mereka mempunyai akses kepada sumber sama, seperti yang kita miliki.
Namun, apa membezakan usahawan dan orang biasa ialah ilmu dan pilihan berani
bertindak membuat keputusan dalam mencapai sesuatu perkara.
Bagi mewujudkan lebih ramai usahawan di negara ini, kerajaan memperkasakan
penyertaan Bumiputera ke dalam sektor perniagaan. Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak baru-baru ini mengumumkan lima teras meningkatkan penyertaan Bumiputera
dalam ekonomi negara. Antara teras itu penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera
(MEB) yang tidak lama lagi akan dipengerusikan Perdana Menteri sendiri. Dengan
kemudahan ini, ia memberi banyak peluang serta memudahkan usahawan Bumiputera
memperluaskan lagi perniagaan mereka.
Mungkin anda tersenyum ghairah mendengar peluang yang bakal menjelma. Ini cara
kerajaan memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dalam dunia keusahawanan di
Malaysia. Dengan ini, usahawan Bumiputera tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya
kepada perlindungan kerajaan. Tetapi percayalah, tanpa bantuan kerajaan
sekalipun, kita sebenarnya mampu membina perniagaan kita sendiri berbekalkan
formula membina perniagaan yang terbukti berjaya.
Sebenarnya peluang mendapat pendapatan lebih tinggi sememangnya menuntut untuk
kita menjadi usahawan. Jika anda masih lagi bersandarkan kehidupan makan gaji,
inilah masanya untuk anda mula berjinak-jinak dalam dunia keusahawan. Tetapi
ingat, jangan terjun dalam dunia keusahawanan jika masih belum mempunyai ilmu
mencukupi mengenainya. Mulalah mencari ilmu melalui pembacaan buku, hadiri
seminar keusahawanan dan pastikan mempunyai mentor yang betul untuk membantu
anda mencapai arah yang ingin dituju dengan mudah dan pantas.
Penulis adalah usahawan, pakar pembangunan usahawan dan pemasaran
Please like & follow us on facebook!!