Showing posts with label muflis. Show all posts
Showing posts with label muflis. Show all posts

Saturday, December 29, 2012

Muflis : Bankrap : Bankruptcy



Statistik mengatakan lebih daripada 34,000 golongan muda berusia 34 tahun ke bawah di Malaysia diisytiharkan muflis. Jumlah ini sentiasa bertambah setiap tahun sejak tahun 2001.
47% Melayu
34% Cina
9% India
10% Lain-lain
Setiausaha kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu dipetik berkata dalam akhbar Berita Harian, hampir 47 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,568 kes baru pada suku tahun ini yang direkodkan di Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) adalah Melayu.
“Aliran ini serius dan membimbangkan,” kata Syed Nadzim.
Manakala kaum Cina pula mencatatkan kedudukan kedua tertinggi sebanyak 34 peratus, kaum India 9 peratus dan lain-lain kaum adalah 10 peratus.
“Sesuatu perlu dilakukan segera untuk membendung masalah ini. Malah PPIM juga mahu Akta Kebangkrapan 1967 dan Kaedah Kebangkrapan 1969 dipinda kerana sudah lapuk dan tidak sesuai,” tambah beliau lagi.
Berdasarkan statistik daripada MdI bermula daripada 2007, jumlah kes kebangkrapan yang dicatat ialah 13,238 disusuli peningkatan pada 2008 kepada 13,855 dan terus meningkat pada 2011 kepada 19,167.
Selain itu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh MdI sebagai punca kepada pengisytiharan muflis ini sejak 2005 hingga Jun 2012 adalah disebabkan beberapa sebab, antaranya ialah sewa beli kenderaan sebanyak 25 peratus, keberhutangan lain sebanyak 21 peratus, pinjaman peribadi 13 peratus dan pinjaman perumahan 13 peratus serta lain-lain.
Disamping itu, negeri yang paling mencatatkan banyak kes muflis sepert yang direkodkan MdI adalah Selangor dengan jumlah 1,053 kes atau 23.05 peratus daripada 4,568 kes keseluruhan suku tahun ini.
“Statistik Jabatan Perangkaan yang kami peroleh menunjukkan nisbah muflis dengan penduduk di Selangor ialah 1:581, bermaksud seorang bagi setiap 581 penduduk di negeri itu diisytiharkan muflis,” tambah beliau lagi.

SUMBER

Saturday, December 8, 2012

5 TIP CEGAH MUFLIS


Masalah kewangan bukanlah isu terasing dalam sesebuah perniagaan. Semua syarikat pernah mengalaminya. Cuma yang membezakan mungkin pada nilai keperluan wang dan tahap keseriusan masalah itu. 
Kadang-kala, masalah yang timbul berlaku kerana hal luar jangka seperti masalah pembayaran dari pelanggan. Pelanggan menjanjikan bayaran daalam tempoh tiga bulan selepas projek siap tetapi bayaran yang diperolehi hanya selepas enam bulan (malah ada yang sehingga setahun menunggu bayaran). 

Walaupun, perkara-perkara ini diluar jangka, namun ada beberapa perkara yang masih di dalam kawalan usahawan dalam mencegah isu muflis:

Pastikan Ada Dana Kecemasan
Dana kecemasan penting bagi setiap syarikat. Sebaik-baiknya dana itu boleh menampung sekurang-kurangnya aliran perbelanjaan syarikat untuk tiga bulan. Amalkan menyimpan amaun yang konsisten setiap bulan di dalam Fixed Deposit (FD) atau Sijil Amanah bagi tujuan dana ini. Jika syarikat hanya mampu simpan RM500 setiap bulan, itu sudah bagus untuk permulaan. Paling penting ialah konsisten. 

Pastikan 'Kesihatan Kewangan' Pemilik Baik
Menjadi pemilik syarikat, anda perlu lihat kesihatan kewangan anda. Kadang-kala usahawan terlepas pandang tunggakan bayaran peribadi misalnya untuk kad kredit, ansuran kereta, pinjaman rumah dan lain-lain. Jika anda pemilik syarikat tunggal, masalah kewangan peribadi akan menjejaskan perniagaan anda. Anda boleh ke Blok C, Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan status kesihatan kewangan anda. 

Pelbagaikan Portfolio 
Selain projek besar, syarikat perlu mempunyai projek-projek kecil yang boleh meringgankan aliran perbelanjaan syarikat setiap bulan. Bergantung pada hanya satu projek besar bakal membawa risiko kewangan yang besar kelak. 

Jika Terima Surat Peguam, Berbincanglah
Pernahkah anda menerima surat peguam berkaitan pinjaman atau pembekal anda mengemukakan saman? Ramai usahawan mengambil lewa isu surat peguam ini. Berbincanglah dengan peguam tersebut. Selalunya jika anda menerima surat peguam yang bertindak mewakili pembekal, anda masih berpeluang berbincang dengan pembekal anda itu. 

Pembekal anda juga seorang peniaga. Berbincanglah untuk bayaran ansuran. Beritahu kepada mereka situasi perniagaan anda dan beri satu komitmen ansuran pembayaran. Ketelusan anda untuk membuat bayaran secaran ansuran disebalik kekangan kewangan akan meningkatkan kepercayaan pembekal kepada anda. 

Sediakan Senarai Hutang
Apabila kekangan wang berlaku, senaraikan hutang dan perbelanjaan bulanan anda. Kemudian letak keutamaan pada hutang yang anda fikirkan bakal menyebabkan anda terjerumus dalam isu muflis. Misalnya, tunggakan bil, tunggakan pinjaman dengan bank dan bayaran kepada pembekal mempunyai keutamaan berlainan jika anda hanya mempunyai wang terhad di tangan. Buatlah keutamaan secara bijak.